Sejarah kompang





Salah satu daripada alat muzik tradisional Melayu yang popular masa kini ialah kompang. Kompang dikatakan berasal daripada Parsi dan digunakan untuk menyambut kedatangan Rasulullah S.A.W. Selain itu, kompang juga digunakan untuk menaikkan semangat tentera Islam ketika berperang. Alat muzik ini dibawa ke Nusantara oleh pedagang Arab yang datang berdagang. Mereka memperkenalkan alat muzik ini dan mendapat sambutan yang hebat di kalangan penduduk Tanah Melayu terutamanya orang-orang Jawa.

Kompang mempunyai ukuran garis pusat antara 20 hingga 37.5 sentimeter dan ketinggian sehingga 12 sentimeter. Ia banyak dimainkan di negeri Johor, Selangor dan Perak. Kalau dahulunya alat muzik ini hanya dimainkan di majlis perkahwinan, berkhatan, dan menyambut pembesar tetapi penggunaannya diperluaskan di sekolah, institusi pengajian tinggi dan ketika menyambut ketibaan pemimpin negara luar.
Alat muzik ini bulat dan diperbuat daripada kayu yang kuat dan berkualiti. Kayu yang berbentuk bulatan penuh ini dikenali sebagai balon atau badan kompang. Biasanya kayu yang digunakan ialah pokok cengal dan palau. Penggunaan kayu yang kuat akan memastikan balon kompang tidak pecah atau retak apabila terjatuh. Kulit kambing betina pula digunakan sebagai penutup pada permukaan balon kompang. Satu lagi permukaan kompang yang terbuka dikenali sebagai mulut kompang.

Kompang terdiri daripada pelbagai saiz. Kompang yang dimainkan di Johor tidak mempunyai saiz yang tertentu. Ada yang mempunyai ukuran garis pusat sepanjang 22.5 sentimeter, 25 sentimeter, 27.5 sentimeter dan ada juga yang mencecah sehingga 35 sentimeter. Kebanyakan pemain di Johor menggunakan kompang yang sama saiznya. Hal ini demikian kerana kompang yang pelbagai saiz menghasilkan bunyi yang berbeza. Pemain di negeri Perak dan Selangor pula menggunakan alat muzik sampingan yang lain untuk mempelbagaikan bunyi.